Ahad, 21 Mei 2017

Keunikan Buffet Steamboat di Steamboat Bakar Sepanggar



(Kami mengesyorkan Restoran Steamboat Bakar Sepanggar sebagai antara pilihan terbaik di Kota Kinablau untuk Sungkai/berbuka puasa di bulan Ramadhan 2017)



Menikmati makan malam berasaskan buffet Steamboat adalah sesuatu yang biasa bagi kita semua. Namun, buffet Steamboat di sebuah restoran di Sepanggar memberikan kelainan khususnya dari aspek teknik memasak. Steamboat Bakar Sepanggar kini memperkenalkan Steamboat berasaskan kepada Chim Chum yang menggunakan arang sebagai agen haba untuk memanaskan pot. Ini berbeza dengan kebanyakan restoran di Kota Kinabalu yang lebih gemar menggunakan Tong gas atau kuasa elektrik. 




Steamboat Bakar Sepanggar



Nama Steamboat Bakar itu pada dasarnya merujuk kepada 'Proses Pembakaran' menggunakan arang dalam pot steamboat itu sendiri. Kaedah Steamboat ini sudah lama ada di tempat-tempat lain tetapi bagi Kota Kinabalu ia merupakan sesuatu yang agak unik. Steamboat sebegini dikatakan popular di Thailand dan diberikan nama Chim Chum. Justeru, Chim Chum juga adalah makanan 'street food' yang popular di Thailand. 


Restoran Steamboat Bakar Sepanggar terletak di Bandar Sepanggar Fasa 1 bersebelahan dengan Hotel Tang Dynasty Park Sepanggar. Dibuka setiap hari mulai jam 5 petang ia menawarkan produk Buffet Steamboat. Bersaiz sebesar 2 lot, restoran ini mampu menampung ramai pelanggan baik yang datang dalam kumpulan kecil mahupun besar. Pelbagai jenis makanan disediakan kepada para pelanggan bermula dari Seafood, Ayam, Daging serta sayur-sayuran. 



Chim Chum



Chim Chum dikatakan berasal dari Laos dan Cambodia. Secara tradisionalnya, ayam dijadikan bahan asas dan dicampurkan dengan rempah yang terdiri daripada lengkuas, selasih, serai dan daun limau purut. Ia dimasak dalam bekas atau pot yang diperbuat dari tanah liat, di atas dapur arang. Hasil masakan dihidang dengan Nam Jim (sambal/cecahan/sos). 


Chim merujuk kepada proses mencelup makanan mentah ke dalam sup dengan kadar yang segera manakala Chum pula bererti mencelup dalam jangka waktu yang lebih lama. Sup yang dimaksudkan itu dimasak dalam bekas yang diperbuat dari tanah liat dan proses sedemikian berkembang sehingga ke hari ini. Walaupun bekas tanah liat (pot) itu sudah mula berkurangan penggunaannya, namun konsep dapur arang itu masih terpakai hingga ke hari ini.


Penggunaan arang untuk memasak dikatakan menghasilkan rasa dan aroma asli kepada makanan yang dimasak. Proses masakan, bahan dan hasil masakan serta tempat memasak itu secara keseluruhannya dikenali sebagai Chim Chum. Sebut sahaja Chim Chum, penggemarnya akan segera membayangkan masakan di dalam bekas yang dimasak menggunakan arang. 


Chim Chum yang digunakan di kebanyakan restoran steamboat di Malaysia termasuk juga Steamboat Bakar Sepanggar, mempunyai dua bahagian iaitu satu untuk tujuan merebus (sup) dan satu lagi memanggang. Di restoran ini, jenis sup yang ditawarkan kepada para pelanggan adalah Sup Tom Yum dan Sup Ayam. 



Uniknya Buffet Steamboat di Steamboat Bakar Sepanggar




Restoran Steamboat Bakar Sepanggar menawarkan buffet Steamboat setiap hari bermula jam 5 petang hingga ke 11 malam. Seperti yang dinyatakan tadi, keunikan buffet Steamboat di sini terletak pada penggunaan pot Chim Chum, sesuatu kelainan dari kebanyakan restoran Steamboat di Kota Kinabalu. 


Ia seperti memberikan pelanggan satu 'Perjalanan dan Pengetahuan Kulinari' yang mendasari budaya Chim Chum yang popular di Thailand. Ia turut memberikan rasa dan aroma asli kepada makanan yang dimasak kerana penggunaan dapur arang yang terletak di dalam bekas berbentuk bujur di tengah-tengah pot Steamboat. 



Susun Atur Kaunter Buffet




Kaunter buffet Steamboat di sini menawarkan pelbagai jenis pilihan makanan untuk memberikan kepuasan kepada para pelanggan. Pelanggan hanya perlu memilih jenis makanan dan membawa ke meja untuk dimasak menggunakan dapur Chim Chum. Proses ini boleh diulang-ulang mengikut kemahuan pelanggan. Di kaunter utama, terdapat makanan yang sudah dimasak dan beberapa pilihan pemanis mulut.



Pilihan makanan yang sudah dimasak terdiri daripada Nasi Goreng, Mee/Meehoon Goreng, Laksa Penang dan juga beberapa jenis pilihan sambal/cecahan atau Nam Jim




Peti sejuk yang diletakkan tidak jauh dari kaunter utama menawarkan pilihan makanan belum dimasak seperti udang, sotong, ayam, daging dan pilihan sayur-sayuran yang segar dan berwarna-warni. Tidak ada had kuantiti yang dikenakan kepada pelanggan. Pelanggan bebas untuk mengambil sebanyak mana yang mereka mahu untuk dimasak dalam pot Chim Chum.



Terdapat satu lagi peti sejuk yang menawarkan pilihan makanan seperti bebola ayam, sotong, isi ketam, wantan, siput sedut dan banyak lagi. Pilihan sebegini memang digemari ramai. 



Beberapa jenis pilihan minuman kordial disediakan untuk para pelanggan dan ini merupakan satu nilai tambah kepada harga buffet. Terdapat beberapa restoran steamboat yang lain yang memerlukan pelanggan untuk membeli minuman kerana ia tidak termasuk dalam harga pakej. Di Steamboat Bakar Sepanggar, minuman dimasukkan dalam pakej buffet.



Terdapat satu kaunter khas yang menawarkan ABC (Ais Batu Campur) tanpa had kepada para pelanggan. Berdasarkan pemerhatian kami, kaunter ini merupakan kaunter yang agak popular kerana ABC merupakan sesuatu yang amat digemari ramai. Pelanggan bebas untuk menentukan pilihan bahan-bahan yang mahu dimasukkan ke dalam ABC mereka.




Pilihan Ais Krim merupakan bahagian buffet yang paling digemari ramai terutamanya kanak-kanak. Pelanggan juga bebas untuk meletakkan Ais Krim sebanyak mana yang mereka mahu ke dalam ABC yang mereka buat sendiri. 



Hirisan buah tembikai (jenis buah berubah mengikut hari) juga disediakan dan ini memberikan pilihan pemanis mulut tambahan kepada para pelanggan. Agar-agar juga disediakan untuk para pelanggan.



Memasak menggunakan dapur Chim Chum



Sebelum memulakan proses masakan menggunakan dapur Chim Chum, pelanggan bolehlah memilih bahan/makanan mengikut kemahuan mereka. Pilihan protein yang banyak serta sayur-sayuran akan memberikan pilihan luas serta bebrbaloi. Pilihlah terlebih dahulu bahan yang memerlukan masa lama misalnya ayam, daging atau seafood berbanding sayur-sayuran.




Pot Steamboat/Chim Chum akan terlebih dahulu dihantar ke meja pelanggan. Saiz dan jumlah pot bergantung kepada jumlah pelanggan di satu-satu meja. Arang terlebih dahulu dimasukkan ke dalam bahagian dalaman pot dan seketul lemak ayam diletakkan di atas permukaan bujur/kawasan memanggang (grill). 


Ini bertujuan untuk memberikan permukaan berminyak (dari lemak ayam) agar bahan masakan tidak terlekat di atas permukaan tersebut. Sup kemudiannya akan diletakkan ke dalam pot mengikut pilihan pelanggan iaitu sama ada sup Tom Yam atau sup Ayam. 



Setelah sup mulai mendidih, pelanggan bolehlah meletakkan bahan pilihan ke dalam sup dan juga di atas permukaan memanggang. Ayam atau daging yang telah diperap bolehlah diletakkan di atas permukaan pemanggang. Terpulang kepada pelanngan sama ada mahu memanggang udang dan sotong tetapi sebaiknya beberapa jenis makanan laut juga diletakkan di dalam sup untuk menyerlahkan lagi rasa dan aroma sup. 



Sementara menunggu bahan protein dimasak sempurna, pelanggan bolehlah mula meletakkan sayur-sayuran pilihan mereka ke dalam sup. Sayur-sayuran ini tidak memerlukan masa yang lama untuk dimasak kecuali lobak dan sengkuang. 


Proses ini memperihalkan definisi Chim dan Chum itu di mana Chim merupakan celupan bahan ke dalam sup yang mengambil masa sekejap sahaja sementara Chum untuk celupan dalam masa yang lebih lama (misalnya daging atau sayuran berstektur keras seperti lobak dan sengkuang).



Apabila bahan sudah cukup tempoh masakannya, pelanggan bolehlah mula mengalihkan satu persatu ke pinggan hidangan dan menikmatinya. Untuk memberikan rasa pedas kepada makanan tersebut, pelanggan bolehlah menggunakan Nam Jim/Sos/Sambal Cecah yang tersedia dengan banyaknya di kaunter buffet utama.



Laksa Penang



Di kaunter buffet utama, tersedia Laksa Penang dan pelanggan hanya perlu untuk memasukkan bahan-bahan Laksa serta kuahnya ke dalam mangkuk. Laksa Penang di Steamboat Bakar Sepanggar sememangnya mirip kepada Laksa Penang yang asli. Kuahnya yang kental mempunyai rasa dan aroma yang enak. Sayur serta telur rebus memberikan tekstur yang berbeza kepada. Perahan limau akan memberikan rasa yang lebih enak kepada kuah Laksa Penang itu. 



ABC (Ais Batu Campur)



Untuk menghilangkan rasa pedas dan dahaga, pelanggan bolehlah pergi ke kaunter ABC dan menyediakannya sendiri. Pelanggan bebas untuk meletakkan kuantiti bahan ke dalam mangkuk hidangan mereka. Begitu juga dengan Ais Krim yang boleh diletakkan di atas ABC untuk memberikan rasa yang lebih enak. Keseluruhan hidangan pemanis mulut ini akan menjadi lebih enak dengan bahan pelbagai tekstur dan perisa seperti jagung, selasih, agar-agar, leong fun dan sebagainya.



Ceriakan keluarga/Rakan anda 



Pelanggan pada kebiasaannya akan mula memenuhi ruang makan di restoran ini mulai jam 7 malam. Ada yang datang khusus untuk makan malam dan ada juga yang datang untuk meraikan ahli keluarga dalam majlis sambutan tertentu misalnya Ulangtahun Hari Lahir, Hari Ibu dan sebagainya. Pelanggan yang datang untuk sambutan majlis tertentu bolehlah memesan tempat duduk terlebih dahulu agar para pekerja dapat menyediakan meja yang sesuai berdasarkan jumlah pelanngan. 




Beberapa meja boleh digabungkan untuk memberikan ruang selesa kepada pengunjung yang hadir dalam jumlah yang ramai. Ini membolehkan pelanggan bergembira dalam suasana ceria bersama keluarga atau rakan-rakan sambil menkmati hidangan yang dimasak beramai-ramai menggunakan dapur Chim Chum. Sama ada anda datang berdua atau dalam jumlah yang ramai, restoran ini sentiasa mengalu-alukan kedatangan anda.


Berdasarkan kepada keupayaan kapasiti jumlah pengunjung, harga buffet, kualiti makanan dan nilai tambah yang ditawarkan kepada para pelanggan, pihak kami berpendapat bahawa restoran ini adalah antara yang terbaik di Kota Kinabalu dan Sepanggar khususnya untuk pelanggan mendapatkan hidangan Steamboat yang memuaskan hati. Restoran ini juga sesuai untuk Sungkai/berbuka puasa pada bulan Ramadhan 2017 yang akan datang. 





RESTORAN STEAMBOAT BAKAR SEPANGGAR

B-0-1 & B-0-2 Tingkat Bawah, Lot 9

Blok B, Bandar Sepanggar Fasa 1

Jalan Sepanggar Bay, Manggatal 

88450 Kota Kinabalu

Sabah, Malaysia

Telefon: 011 1055 5235

Facebook: Steamboat Bakar Kota Kinabalu


(Pelanggan adalah digalakkan untuk membuat tempahan awal terutamanya untuk Sungkai/Berbuka Puasa pada bulan Ramadhan 2017)