Selasa, 16 Mei 2017

8 sebab kenapa Fish Market Restaurant Kota Kinabalu wajib dikunjungi




Lokasi: Warisan Square, Bandaraya Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia

Status: Muslim Friendly


Terletak di dalam Warisan Square Mall, Fish Market Restaurant adalah sebuah lagi Restoran Makanan Laut terbaru di Kota Kinabalu. Restoran ini baru sahaja memulakan operasi perniagaannya pada awal April lalu. Restoran ini menawarkan sesuatu yang berbeza dari Restoran Makanan Laut yang lain. Untuk itu, kami mengunjungi restoran ini dan merasai sendiri pengalaman makan malam di sini. Kami berpendapat bahawa restoran ini sememangnya berbeza dan unik dari pelbagai sudut. Berikut adalah 8 sebab kenapa Restoran ini patut anda kunjungi jika anda datang ke Bandaraya Kota Kinabalu. 


1-Lokasi


Lokasinya di Warisan Square Mall menjadikan restoran ini agak strategik bagi para pengunjung. Warisan Square dikelilingi oleh pelbagai jenis Hotel dari yang bertaraf 5 bintang ke bawah. Pelbagai jenis Homestay dan juga Backpackers/Hostel juga ada di sekeliling Warisan Square. Ini menjadikan restoran ini begitu dekat dengan kebanyakan hotel terkemuka di Kota Kinabalu. Perkhidmatan Teksi jiga tersedia di semua arah dan bagi mereka yang lebih gemar menggunakan perkhidmatan UBER juga tidak perlu gusar. 


Restoran ini berdekatan dengan banyak tarikan pelancongan utama justeru ia memberikan ruang untuk pengunjung melakukan aktiviti yang lain, sebelum atau sesudah berkunjung ke restoran ini. Pengunjung tenpatan juga tidak perlu gusar dengan ruang letak kereta kerana ia terdapat dengan banyaknya di dalam dan juga persekitaran Warisan Square. 

2-Restoran yang berstatus Muslim Friendly


Restoran ini belum lagi memiliki Sijil Halal walaubagaimanapun ia boleh dikategorikan sebagai restoran yang Muslim Friendly. Restoran ini langsung tidak menghidangkan Daging Khinzir dalam menu nya. Pilihan Makanan Laut adalah tersedia di depan mata pelanggan. Mereka hanya perlu memilih jenis makanan laut yang mereka kehendaki. Tidak timbul sebarang persoalan sama ada sumber makanan itu dicemari dengan bahan terlarang.


Kami mencadangkan agar pengunjung beragama Islam mencuba Sauna Steamboat kerana proses masakan tidak memerlukan sebarang bahan tambahan walaupun garam, gula, MSG mahupun minyak masak apatah lagi bahan-bahan yang lain. Ini membolehkan pelanggan mempunyai keyakinan dan tidak was-was dengan kandungan masakan tersebut. Semuanya akan disediakan, dimasak dan dihidangkan di depan anda.


3-Sauna Steamboat: Satu pengalaman yang berbeza


Sauna Steamboat merupakan satu kaedah masakan dengan menggunakan teknologi terbaru dan konsep ini merupakan yang pertama di Negeri Sabah. Kaedah masakan sebegini menggunakan kuasa stim untuk memasak pelbagai jenis makanan yang dipilih oleh para pelanggan. Ia tidak menggunakan Tong Gas seperti mana yang digunakan oleh kebanyakan Restoran Makanan Laut yang lain dalam hidangan steamboat. 

IMG_3973

Aras atas-Masakan makanan utama

IMG_4043

Aras bawah-Untuk memasak bubur


Terdapat 2 aras dalam kaedah masakan ini iaitu aras atas dan aras bawah. Aras atas digunakan untuk memasak makanan laut atau ayam/daging dan sayur-sayuran manakala aras bawah digunakan untuk memasak bubur. Suhu dan masa masakan dikawal dengan menggunakan alat kawalan/panel yang tersedia di tepi meja makan. Walaubagaimanapun, pengunjung tidak perlu bersusah payah kerana kesemuanya akan dilakukan oleh pekerja yang ditugaskan khasuntuk menjaga setiap meja yang memilih Sauna Steamboat.


4-Kaedah Masakan yang Sihat

IMG_4022


Pengunjung yang memilih konsep Sauna Steamboat ini akan mendapati bahawa tidak ada sebarang bahan digunakan sama ada sebelum atau semasa memasak makanan. Ini termasuklah garam, gula, MSG mahupun minyak masak apatah lagi bahan-bahan lain. Kesemua rasa manis dan masin itu datang secara semulajadi dari makanan laut/daging/ayam dari kedua-dua aras. Kedua-dua aras atas dan bawah saling melengkapi antara satu sama lain untuk memberikan rasa kepada kesemua jenis masakan yang dipilih.


Dalam erti kata lain, masakan yang disediakan adalah sihat dan dalam masa memberikan satu dimensi baru dalam menghasilkan masakan yang menggunakan kuasa stim. Pengunjung yang mementingkan kesihatan akan mendapati bahawa mereka akan selesa dengan makanan yang dihidangkan kepada mereka. Walaupun tidak ada sebarang bahan digunakan dalam masakan, rasa masakan masih tetap sedap.

 

IMG_3841


Satu-satunya bahan tambahan (tidak perlu digunakan jika tidak mahu) adalah potongan cili padi, bawang putih yang dicincang, minyak bijian lada kering dan kicap. Pengunjung adalah digalakkan untuk merasa makanan dalam dua situasi iaitu pertama dengan memakannya secara langsung dan kedua, mencelup sedikit bahagian makanan seperti udang ke dalam 'sambal' yang dibuat oleh pengunjung sendiri. Kedua-dua cara akan memberikan satu kelainan rasa buat para pengunjung. 


5-Penghasilan Makanan yang sihat

IMG_4000


Kaedah masakan yang sihat pastinya akan menghasilkan makanan yang bukan sahaja sihat tetapi mampu mengekalkan khasiat dan nutriennya. Masakan adalah berasaskan kuasa stim dan tidak digoreng dan seperti yang dinyatakan sebelum ini ia tidak menggunakan garam, gula, MSG mahupun minyak masak. Makanan yang terhasil mempunyai rasa semulajadinya dan hampir sama dengan masakan yang menggunakan bahan-bahan tambahan.



Udang Kara


Ikan Kerapu

Pilihan masakan yang sihat tetapi masih lazat akan memberikan ruang dan dimensi baru dalam dunia kulinari untuk para pengunjung Fish Market Restaurant. Justeru, kami mencadangkan anda berkunjung ke restoran ini jika anda datang ke bandaraya Kota Kinabalu. Rasai bukan sahaja pengalaman masakan yang baru tetapi dalam masa menikmati makanan yang sihat dan lazat! 


6-Pilihan Makanan Laut yang segar



Pilihan jenis makanan laut di restoran ini bukan sahaja banyak tetapi segar dan dieprolehi dari pembekal tempatan. Bekalan dihantar setiap hari dan ini bermakna kesegaran bahan terpelihara. Pengunjung restoran boleh memilih jenis makanan laut sama ada untuk Sauna Steamboat atau hidangan ala carte (mengikut cadangan masakan dalam menu ala carte). Selain dari makanan laut, terdapat juga pilihan ayam, daging serta sayur-sayuran yang segar untuk memberikan menu tambahan kepada para pengunjung. Sewaktu kunjungan kami, sebanyak 11 jenis hidangan telah dipilih untuk kami dan kesemuanya adalah segar. Berikut adalah antara makanan laut yang kami paling gemari.




Udang Kara


Udang


Ikan Kerapu


Lokan


7-Layanan terbaik dari para pekerja yang cukup terlatih


Para pekerja di restoran ini sememangnya cukup terlatih. Sewaktu kunjungan kami, kami berkesempatan untuk melihat sesi motivasi diri mereka dan ini mereka lakukan setiap hari! Kami dapati bahawa kesemua pekerja restoran ini adalah peramah, sopan, berpengetahuan luas serta sering memberikan bantuan apabila diminta. Jika anda datang ke sini dan memilih hidangan Sauna Steamboat, seorang pekerja terlatih akan berada di samping meja sepanjang masa untuk membantu anda menyediakan, memasak dan menghidangkan bahan. Pekerja tersebut juga akan memberikan beberapa penjelasan terperinci tentang setiap aspek dalam hidangan tersebut. Pendek kata, anda tidak akan mengalami masalah dengan kakitangan/pekerja di sini kerana mereka cukup terlatih dalam memberikan layanan terbaik kepada anda. 



Sesi Motivasi diri


8- Ruang Makan yang selesa


Secara keseluruhannya, restoran ini mampu menampung seramai 450 pelanggan dalam satu-satu masa. Terdapat 2 jenis ruang makan yang boleh dipilih sendiri oleh pelanggan iaitu Ruang Makan Umum/Terbuka atau Ruang Makan Peribadi/Bilik VIP. Hampir setiap meja dalam restoran ini mampu menampung 10 pengunjung. Terrdapat juga beberapa meja yang khusus disediakan untuk 4 pengunjung. Restoran ini tidak mempunyai masalah dalam menerima tempahan untuk 2 pengunjung. 


IMG_0960 IMG_0959 IMG_0963

Terpulang kepada pengunjung untuk memilih ruang makan yang bersesuaian untuk mereka. Untuk Bilik VIP, ia ditawarkan kepada pengunjung yang bercadang untuk berbelanja sebanyak RM500 ke atas. Namun demikian, konsep tempahan adalah berdasarkan kepada 'siapa cepat dia dapat'. Restoran ini juga boleh menerima tempahan untuk acara-acara bersaiz sederhana misalnya Majlis Makan Malam dan sebagainya. 


Secara keseluruhannya, kami berdua berpendapat bahawa restoran ini sangat berbaloi untuk dikunjungi kerana ia menawarkan sesuatu yang berlainan dari Restoran Makanan Laut yang lain di bandaraya Kota Kinabalu. Ia merupakan restoran pertama di Sabah yang menawarkan Konsep Hidangan Sauna Steamboat. Selain itu, restoran ini juga adalah Muslim Friendly. Jika anda ingin mengalami pengalaman yang sama seperti kami, berkunjunglah ke: 



Fish Market Restaurant
C-G-01, Block C
Ground Floor, Lot 1 Warisan Square
88000 Kota Kinabalu
Sabah, Malaysia
Tel: +60 88 252255 (Restaurant)/ +60 16 810 4889 (Mr.Alan Voo)/ +60 16 833 3575 (Ms.Angeline Johnny)
Instagram: Klik SINI
Website: Klik SINI


Copyright(C) 2017 curiostraveller.blogspot.my. All Rights Reserved.