Rabu, 27 April 2016

Garage Kafe- Satu lagi Konsep Kafe terbaru di Sabah


(Foto oleh @joehairie)



Terletak tidak jauh dari simpang masuk ke Grand Millenium Jalan Pintas Penampang, Garage Kafe adalah satu lagi Kafe terbaru di sekitar kawasan Kota Kinabalu dan Penampang. Kafe ini baru sahaja memulakan operasinya. Ia dimiliki dan diurus oleh sepasang suami isteri dengan bantuan beberapa pekerja yang berdedikasi. Kafe ini menawarkan sajian berkonsepkan makanan Western, Malaysia dan juga Fusion. Konsep Kafe ini adalah berdasarkan kepada Garage Cafe yang kini semakin popular di seluruh dunia. Pemilik Kafe ini memberitahu kami bahawa konsep Garage Cafe itu akan diterapkan secara berperingkat untuk memberikan nafas baru kepada konsep Kafe Hipster yang banyak terdapat di Kota Kinabalu. Ikuti ulasan kami mengenai Kafe ini.



Ternyata Kafe ini berbeza konsepnya dengan Kafe-Kafe Hipster yang lain kerana ia menyelitkan konsep Garage, sesuatu yang baru di Sabah. Kafe ini tampil dengan gaya moden dan susunan perabot yang jelas ringkas tetapi kena pada konsepnya. Inilah persepsi pertama kami semasa mula-mula masuk ke dalam Kafe ini. Layanan mesra pemilik Kafe ini begitu jelas apabila kami disambut dan dipersilakan duduk serta diberikan menu dalam masa kurang dari 2 minit. Bagi kami, aspek layanan adalah yang terpenting dalam mana-mana perniagaan Kafe kerana inilah yang akan membuatkan pelanggan terus datang pada masa hadapan. 


Lokasi Garage Kafe

Oleh kerana Kafe ini agak baru, maka ada baiknya kami tunjukkan lokasi tepat Kafe ini. Rujuk Peta di bawah. Tanda jelas yang perlu anda perhatikan adalah sebuah bangunan kecil bernama RMT Hardware Trading yang berada di sebelah kanan Jalan Pintas Penampang (Lihat gambar).


RMT Hardware Trading



Ruang Dalam Kafe





Ruang depan Kafe ini adalah ruang makan yang mempunyai tingkap kaca besar dan menghadap kawasan letak kereta dan ini memberikan peluang kepada para pengunjung untuk memantau kereta mereka dari dalam Kafe. Kafe ini berhawa dingin dan suhunya ditetapkan pada kadar yang akan membuatkan anda berasa amat selesa dan akan duduk lebih lama dalam Kafe ini. 




Banyak meja disediakan dan memang muat untuk 2-4 pengunjung tetapi jika anda datang dalam kumpulan yang lebih besar, meja-meja tertentu boleh digabungkan. Pencahayaan dalam Kafe ini dilaraskan dengan begitu baik sekali dengan menggunakan lampu-lampu yang dibawa khas dari IKEA. Kipas dinding juga disediakan untuk menjadikan suhu dalam Kafe lebih nyaman dan selesa untuk para pengunjung. Sebahagian dari dinding dan lantai Kafe ini sengaja dibiarkan dalam keadaan separa siap untuk memberikan sentuhan hipster kepada Kafe ini.




Foto di atas menunjukkan kawasan Dapur Terbuka. Ia memberikan peluang kepada para pengunjung untuk melihat bagaimana para pekerja berusaha untuk menyiapkan hidangan yang dipesan. Aroma yang datang dari masakan pastinya akan membuatkan pengunjung untuk membuat pesanan tambahan. 




Kaunter kecil di sebelah kiri dalam foto di atas adalah kaunter untuk juruwang. Gitar Elektrik yang disediakan di hadapan kaunter juruwang itu akan digunakan dalam persembahan yang akan dilakukan oleh buskers. Persembahan ini dijangka dibuat dalam sedikit masa lagi. Ia masih dalam perancangan pemilik Kafe. Berikut adalah beberapa foto yang menunjukkan bagaimana hiasan dan susun atur dalam Kafe disempurnakan oleh pemilik Kafe ini. 



Penggunaan Kayu sebagai hiasan dinding dan juga plat nombor kereta dilekatkan di atas susunan kayu. 



Susunan Frame Foto-foto yang menarik



Pandangan hadapan Kafe dari arah Kawasan Dapur Terbuka



3 perkataan dalam Frame Foto ini jelas menunjukkan keperibadian pemilik Kafe dan juga para pekerja Kafe. 



Pemilihan hiasan dinding yang menarik



Pandangan dalaman Kafe dari arah luar Kafe.


Ruang Luar Kafe



Ini adalah kawasan hadapan Kafe di bahagian luar. Pemilik Kafe ini mempunyai rancangan untuk menambah kerusi dan meja di bahagian luar Kafe ini. 



Pemandangan keseluruhan hadapan Kafe dari tepi jalan raya. 



Hidangan Makanan dan Minuman


Oleh kerana Kafe ini baru sahaja memulakan operasinya, menu yanng ditawarkan buat masa ini masih agak sederhana dan menurut pemiliknya ia akan diperbaiki dan pilihan akan ditambah dari masa ke semasa. Bagi kami, menu ini adalah mencukupi buat masa ini. Kami lebih suka dengan menu seperti ini kerana mudah bagi kami untuk memilih makanan berbanding dengan memilih makanan dari fail menu yang sangat tebal. 



Hidangan/Sajian utama

Pada pandangan kami, harga untuk makanan dan minuman adalah berpatutan dan sesuai dengan kemudahan yang disediakan dalam Kafe ini. Harga juga berpatutan dengan saiz hidangan yang disajikan kepada para pengunjung. Walaubagaimanapun, adalah wajar kesemua menu ini ditambah pilihannya agar pengunjung tegar tidak kebosanan dengan hidangan yang sama setiap kali.




Pilihan minuman adalah lebih kurang sama seperti yang terdapat di Kafe/Restoran yang lain. Namun, kami cukup puas hati dengan kualiti minuman di sini kerana ia tidak terlalu tawar dan tidak terlalu manis, sesuai dengan kehendak kami. Foto-foto di bawah menunjukkan makanan dan minuman yang kami pilih. @joehairie memilih untuk menikmati hidangan Ayam Lemon dengan Nasi dan untuk minuman dia memilih Teh Merah Thai Ais. @curiostraveller memilih Nasi Lemak Garage Kafe dengan Ayam Goreng Berempah dan Lemon Teh Ais. Menurut @joehairie, Ayam Lemon tersebut menepati citarasanya, tidak terlalu masin dan tidak terlalu manis. Rasa Lemon itu bagi @joehairie adalah ketara baik di dalam mahupun di luar Fillet Ayam. 

@curiostraveller berpendapat bahawa kuantiti sambal harus ditambah sedikit lagi. Kuantiti sambal yang banyak akan memberikan kepuasan kepada pengunjung/pelanggan. Sambal tersebut memang sedap dan tidak terlalu pedas, sesuai dengan kehendak rata-rata penggemar Nasi Lemak. Nasi dan bahan sampingan seperti bilis, kacang dan telur sangat memuaskan hati @curiostraveller. Ayam goreng pula sangat sedap, ranggup di luar dan lembut di dalamnya. Menu tambahan iaitu Cheezy Fries merupakan hidangan penyeri bagi kami. Kuantitinya besar dan boleh dikongsi oleh 3 orang. Lelehan keju dan sos daging memberikan tambahan perisa kepada kentang goreng tersebut. Kami berdua puas hati dengan minuman yang disajikan.



Nasi Ayam Lemon dengan Nasi (RM 8.90)



Smokey Cheezy Fries diliputi oleh Sos Daging (RM 7.90)



Nasi Lemak Garage Kafe dengan Ayam Goreng Berempah (RM 10.90)



Lemon Teh Ais (RM 4.50)




Teh Merah Thai Ais (RM 4.50)



Gabungan hidangan yang dipesan @joehairie dan @curiostraveller


Penilaian Kami



Pasukan @curiostraveller.com


Secara keseluruhannya, kami berdua sangat berpuas hati dengan kualiti produk dan servis Garage Kafe. Kami melihat cara pemilik dan pekerja melayan kesemua pelanggan/pemgunjung dan kami mendapati bahawa mereka melayan mereka sebaik seperti layanan yang diberikan kepada kami. Pemilik dan pekerja Kafe ini mempunyai senyuman yang ikhlas, bekerja dengan ikhlas, berbudi bahasa dan prihatin. Makanan dan minuman yang kami pesan kesemuanya berkualiti dan sedap. Kami mengucapkan selamat berjaya kepada pemilik Kafe ini dalam mengembangkan operasi Kafe pada masa hadapan. Pastinya kami akan kembali untuk menikmati hidangan terbaru mereka iaitu Laksa Sarawak yang akan diperkenalkan tidak lama lagi. Penilaian secara kuantitatif diberikan dalam platform curiostraveller.com. Klik SINI untuk melihat skala penilaian yang kami berikan. 

Garage Kafe
Jalan Pintas Penampang/Penampang Bypass
(Before the junction going to Grand Plaza Millenium)
Instagram: Klik SINI
Facebook: Klik SINI

Masa Operasi
Isnin-Rehat
Selasa-Jumaat – 1000 HRS – 1100 HRS
Sabtu-Ahad– 0900 HRS – 1100 HRS